Terbaru
Home » Cerpen » Penjara sebuah Pemikiran. [episod 2]

Penjara sebuah Pemikiran. [episod 2]

1238754_635200603170527_1471619455_n

Petaling Jaya, 2009

Hari ini merupakan hari pertama awak menjejakkan kaki ke menara gading. Seperti kebanyakkan remaja lain, awak punyai kecelaruan dalam memilih watak, watak untuk di padankan dengan diri awak. Supaya awak selesa dan mampu menyumbang melaluinya.

Dunia awak kini berubah, dari dunia manja kepada dunia mencabar, menuntut awak untuk berdikari. Berdiri diatas kaki sendiri.

Hari-hari awal awak di dunia kampus di penuhi dengan proses mencari identiti, satu persatu program awak sertai, kononya untuk membina personaliti.

Pada suatu hari, sedang asyik awak mencari sebuah identiti, awak di datangi oleh seorang senior. Wataknya sangat islamik. Melihat wajahnya membangkitkan seribu satu ketenangan pada diri awak.

“Mahadi, enta tengah buat apa tu? Boleh ana duduk sebelah?” tegur sang senior itu.

Iqbal bin Razak namanya, atau lebih di kenali sebagai ustaz Bob di kalangan senior-senior, dan junior seperti awak. Mungkin di sebabkan dirinya sedikit berisi, Bob menjadi panggilan orang sekeliling, awak berkira-kira keseorangan.

“Enta.. erk.. ana.. erk…” lidah awak sedikit kelu ketika itu. Maklumlah, awak bukanlah berasal dari sekolah agama. Namun sekolah harian biasa sahaja. Sekolah Menengah kebangsaan Panji, yang terletak di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Kelantan.

“Takde buat pape pun ustaz, duduklah ustaz” Awak menjawab acuh tak acuh.

Ustaz Bob, melabuhkan papan punggungnya pada kerusi batu bersebelahan awak.

“Mahadi, anta apa khabar?”

“Alhamdulillah, sihat. Ustaz apa khabar?”

“Alhamdulillah. Sihat juga tu. enta dah makan?”

“Belum lagi ustaz. Lepas maghrib nanti baru nak makan” Jawab awak sambil melihat pada jam pada lengan kiri awak. Jam digital itu menunjukkan angka 18.45.

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup melalui pohon hijau di hadapan tempat awak dan ustaz Bob berada. Daunnya sedikit melambai. Beberapa saat kemudian, muka awak turut merasai kehadiran angin itu. Nyaman. Begitu juga ustaz Bob di sebelah.

“Anta free tak malam ni”Soal ustaz Bob kembali.

“Buat masa sekarang, kosong lagi tu ustaz, kenapa ye? Ada apa yang boleh ana… errk… saya bantu ye ustaz?”

Lidah awak masih asing untuk membahasakan ‘ana’, lantas ganti nama diri ‘saya’ juga meluncur keluar dengan selesa dari bilah lidah awak.

“Owh, ingat kalau enta free, nak jemput datang bilik ana malam ni. Ada buat makan sedikit, dan sedikit usrah. Lepas maghrib nanti insyaAllah.” Ustaz Bob akhirnya menyatakan tujuan kehadirannya, sedikit panjang.

Usrah!

Gulp!

Satu lagi perkataan baru hinggap di telinga awak. Walaupun pada minggu pertama awak menjejak kaki di CFS IIUM ini, awak telah di dedahkan dengan semua ini. Ya, semaktu minggu suai kenal.

“Usrah itu maksudnya KELUARGA. Melibatkan 5 hingga 6 orang ahli, yang di pandu oleh seorang ketua, atau lebih di kenali sebagai naqib untuk lelaki dan naqibah untuk perempuan.” Seorang fasilitator memulakan bicara, menerangkan apa itu usrah. Sedikit skema gayanya.

“Dan usrah biasanya menjadi tempat untuk seseorang itu melatih diri dan membina identiti. Pada usrahlah kita dapat berkongsi maklumat, bertukar pendapat dan berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Usrah juga dapat menjadikan medan bagi seseorang membina keyakinan diri dan seterusnya membina karekter diri. Ini kerana di dalam usrah kita di beri peluang untuk berlatih bercakap, melontar pendapat dan seumpamanya” Sambung fasilitator itu dengan panjang lebar.

Membina keyakinan diri. Membina karekter diri.

Dua ayat yang betul-betul melekat pada diri awak. Dari selebar-lebar bicara sang fasilitator tentang usrah.

Ya, kerana itulah yang awak impikan. Itulah yang awak sedang mencari. Sebuah identiti diri.

“Ok Ustaz…. Nanti saya datang” Sekali lagi awak menjawab dengan nada acuh tak acuh. Kerana pada masa itu awak sebenarnya dalam dilema. Dilema untuk mengikuti atau melarikan diri.

Sebabnya, di fikiran awak pada masa itu, usrah bukanlah benda baik semata-mata. Bahkan gambaran negatif turut menghantui awak. Kerana pernah sekali awak di momokkan dengan gambaran negatif tentang usrah. Juga dari seorang senior. Katanya, geng-geng usrah ini hipokrit, bajet baik dan kebanyakkan ahlinya keputusan pengajian, hanya cukup-cukup makan sahaja. Tidak kurang ada yang gagal.

“Jangan lupa datang ye lepas maghrib nanti”

Lamunan awak terhenti oleh kata-kata ustaz Bob. Peringatan disertai seribu pengharap kepada awak, untuk memastikan kehadiran awak bersama.

“Ok ustaz. Saya datang nanti” Balas awak. Sedikit berkeyakinan. Berbanding sebelumnya.

Kelihatan sedikit senyuman muncul dari bibir ustaz Bob. Senyum tanda lega. Pelawaannya di balas positif.

“Allahu Akbarullahu Akbar..”

Suara bilal yang sedang mengalunkan azar kedengaran dari copong pembesar suara dari masjid berdekatan. Menandakan waktu maghrib telah berkunjung tiba. Awak dan ustaz Bob bergegas meninggalkan tempat duduk masing masing. Namun pada arah berlainan. Ustaz Bob menuju kearah surau di bahagian tengah Marhalah Abu Bakar. Dan awak cepat-cepat menuju ke bilik 103 di bangunan yang sama.

Tok! Tok!

Jari awak sedikit laju mengetuk bilik Ustaz Bob.

“Assalamualaikum…” Awak memberi salam pendek.

“Waalaikumussalam warah matullahi wabarakatuh” Kedengaran suara ustaz Bob menjawab salam awak mulakan dari dalam.

“Masuklah Mahadi” Sambung ustaz Bob menjemput awak masuk.

Tangan awak perlahan-lahan memutar tombol bulat pada pintu bilik ustaz Bob. Awak menolak perlahan-lahan daun pintu itu. Kelihatan beberapa orang sahabat awak turut sama di dalam bilik ustaz Bob. Sedang duduk membulat antara satu sama lain.

Kaget.

Terkejut.

Awak sedikit gugup. Gugup melihat rata-rata mereka memakai kopiah, serta baju melayu.

Awak pandang pada baju tubuh awak.

Telanjang. Ya, kepala awak telanjang, telanjang bulat dari sebarang alas. Mendedahkan rambut seluas-luasnya. Begitujuga pada bahagian badan awak, bukan baju melayu yang di kenakan, tapi hanya t-shirt biru muda yang tertera perkataan “JUST DO IT”.

“Sila masuk Mahadi, jangan malu” Sekali lagi suara Ustaz Bob kedengaran. Mungkin dia perasaan dengan sikap kekok awak sebaik sahaja muncul dari pintu itu.

Awak memberanikan diri untuk terus melangkah.Melangkah kearah rakan-rakan usrah awak itu. Walaupun awak sebenarnya masih lagi gugup. Tapi kerana sebuah proses pembentukkan diri, awak menggagahkan kaki untuk melangkah.

[Bersambung....]

 

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Dapatkan segera