Terbaru
Home » Ulasan Buku » Ulasan Buku #1: Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong

Ulasan Buku #1: Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong

29389472_1847998271890748_6872174214821715581_n

 

Buku ini terbahagi kepada 3 bahagian utama, di mana setiap bahagian terdiri dari satu topik tulisan ilmiah. Pada bahagian pertama, pembaca dihidangkan dengan tajuk ‘Ancaman Terhadap Agama’ hasil penulisan Mohd Asri bin Zainal Abidin (yang kini merupakan seorang Prof. Madya Dr), disusuli pula pada bahagian kedua dengan tulisan Admin Armas (M.A) yang bertajuk ‘Islam Liberal Menggugat Mushaf Uthmani’ dan ditutup pada bahagian tiga dengan penulisan bersama Fauzi Deraman (Prof. Madya Dr) dan Kamil bin Abdul Majid (Prof. Madya) yang bertajuk ‘Islam Liberal Menurut al-Quran dan Sunnah’.

Pada bahagian awal buku ini, Mohd Asri bin Zainal Abidin (MAZA) membahagikan penulisan beliau terhadap 3 pecahan besar. Beliau memulakan penulisannya dengan memperkenalkan terminologi liberal kepada pembaca. Beliau meneruskan dengan topik faktor kemunculan golongan liberal (Islam Liberal) pada pecahan kedua dalam buku ini. Pada akhir perbincangan MAZA menutup penulisan beliau dengan membentangkan topik kesan terhadap pemikiran liberal di kalangan orang Islam.

Menariknya dalam memperkenalkan liberal kepada pembaca, MAZA tidak memulakan penulisannya dengan membentangkan idea-idea asas yang membawa yang bersandarkan kepada barat, namun beliau memulakan topik ini dengan membicarakan tentang kumpulan yang boleh mendatangkan ancaman terhadap agama. MAZA membahagikan kumpulan ini kepada 3 berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi. Kumpulan-kumpulan itu adalah golongan pelampau yang menyeleweng, golongan batil dengan dakwaan palsu dan golongan jahil yang memberi sesuatu takwilan. Pada perenggang akhir topik ini, MAZA menyimpulkan bahawa kemunculan golongan Islam liberal ini berpunca dari mereka yang suka menyeleweng dan menyalah tafsir hadis-hadis nabi SAW dan ayat-ayat al-Quran.

Pada pecahan kedua pula, MAZA meneruskan penulisan beliau dengan menyenaraikan faktor yang mendorong kemunculan golongan Islam liberal. Faktor-faktornya adalah; pengaruh dunia Barat terhadap kefahaman umat Islam, dunia Islam ketinggalan, syirik, tahyul dan khurafat dikalangan orang Islam. Ketika menerangkan pengaruh dunia barat terhadap orang Islam, MAZA membahagikan kepada 4 kumpulan. Kumpulan pertama, mereka yang menerima apa sahaja dari barat dan pada masa yang sama menolak apa sahaja yang datang dari nas-nas agama. Kedua, mereka yang cuba untuk menyesuaikan nas-nas agama mengikut kehidupan barat. Ketiga, golongan yang menolak apa sahaja yang datang dari barat, manakala yang terakhir mereka yang menggunakan akal untuk menapis perkara yang baik dari Barat untuk dijadikan ikutan dan yang buruk untuk dijadikan sempadan.

Manakala pada pecahan terakhir, MAZA menutup perbincangan ini dengan menyatakan kesan-kesan yang lahir dari pemikiran liberal di kalangan orang Islam. Antaranya, umat Islam semakin hari akan menjauhkan diri dari ajaran Islam yang sebenarnya. Selain itu, mereka juga akan menjadikan Barat sebagai kiblat untuk mereka mempelajari ilmu agama dan berfikir.

Pada bahagian kedua buku ini pula pembaca dihidangkan dengan satu tulisan ilmiah dari tokoh terkemuka dari negara sebarang, Admin Armas. Pada bahagian ini, penulis membicarakan tentang ancaman Islam liberal dalam menggugat Mushaf Uthmani. Bahan utama yang menjadi kajian beliau adalah sebuah makalah yang bertajuk Edisi Kritis al-Quran oleh Taufiq Adnan Amal.

Pada bahagian ini, Admin Armas membicarakan kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh Taufiq Adnan dalam menggugat kepercayaan orang ramai terhadap sistem Resam Uthmani yang diguna pakai dalam al-Quran. Antara isu yang dibangkitkan adalah, cubaan untuk menyamaratakan al-Quran dengan kitab-kitab agama yang lain dari aspek kebenaran fakta dan keasliannya. Kekeliruan juga cuba ditimbulkan dengan mempertikaikan ijtihad yang dilakukan oleh Abu Bakar dan para sahabat dalam membukukan al-Quran.

Pada bahagian terakhir buku ini, Mohammad Kamil dan Fauzi Deraman membawa pembaca untuk menilai pemikiran golongan Islam Liberal ini mengikut neraca timbangan al-Quran dan as-Sunnah.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Dapatkan segera