Terbaru
Home » Artikel » Hidup ini satu ujian

Hidup ini satu ujian

life-crumpled

Hidup ini tidak selalu indah. Tidak juga selalu memihak kepada kita. Terkadang ianya tersangat perit untuk kita lalui. Walau sering kali kemanisan sering di dambakan. Namun begitulah kehidupan, ragamnya pelbagai. Ragam si pelakon, ragam jalan cerita, dan pelbagai ragam lagi.

Ini kerana, hidup dengan satu ragam tidak sekali-kali memberi kepuasan, tidak juga memberikan sebarang keindahan. Pelangi itu indah, kerana warnanya pelbagai. Makanan itu sedap, kerana rasanya bercampuran. Pedas, manis, masin dan masam.

Apatah lagi bila kita mengucapkan kalimah syahadah. Kehidupan ini tidak mungkin akan sunyi dari ujian yang mendatang. Kerana ujian itu penentu kepada darjat kedudukan iman seseorang insan.

Mana mungkin seorang itu boleh mengaku dirinya seorang profesor, sedangkan dirinya belum pernah menempuh sebarang peperiksaan. Usah kata peperiksaan yang besar, peperiksaan yang sederhana di peringkat sekolah pun belum pernah beliau tempuh.

Begitu jugalah perihalnya insan yang mengaku beriman. Belum terbukti tahap keimanan seseorang itu selagi mana kehidupannya belum teruji.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (QS 29 : 2-3)

Allah swt mendatangkan ujian dengan bermacam jalan. Kekadang Allah menguji manusia dengan jalan kesenangan. Di kurnia-Nya harta yang banyak, kesihatan yang baik, dan anak yang ramai.

Tidak kurang juga Allah mendatangkan ujian kepada hamba-Nya melalui jalan kesusahan. Di bataskan rezeki, kesakitan yang berpanjangan, dan kesengsaraan hidup. Tujuannya hanyalah satu, untuk menguji, apakah hamba-Nya akur, patuh dan taat kepada-Nya, ataupun hamba-Nya itu bersikap sebaliknya.

Namun begitu, sekalian hamba-Nya sering kali tertipu, hanya menganggap ujian itu hanya dari jalan kesusahan. Bahkan kesenangan itu juga sebahagian dari bentuk ujian.

Allah swt telah merakamkan dalam al-Quran, bagaimana situasi umat-umat terdahulu, seringkali tertipu dengan nikmat kesenangan yang mereka kecapi, sehingga mereka menolak ajaran yang di bawa oleh nabi-nabi mereka.

“Apakah kamu belum memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi, yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri lain, dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah, dan kaum Diraun yang mempunyai pasak-pasaka (tentera-tentera yang ramai) yang berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu, kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka pelbagai azab. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” (QS 89 : 6-14)

Begitu jugalah keadaan umat pada masa kini. Berapa ramai antara kita lemas dalam ujian kesenangan. Kesenangan yang mengakibatkan mereka semakin mengikis sifat kehambaan yang sepatutnya mereka pertahankan. Kehambaan kepada sang pencipta.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Dapatkan segera