Terbaru
Home » Cerpen » Pintu Perubahan

Pintu Perubahan

“Pang”

Tubuh awak dihempas kuat oleh seorang insan yang sering kali dimuliakan, dengan gelaran Ustazah. Ustazah kepada ummah. Pada tangannya terdapat berus warna kehidupan, untuk mencorak  masa depan anak-anak bangsa nun di bumi Malaysia sana.

“Kruk Kruk”

Tubuh awak bergerak perlahan, sekejap kehadapan, sekejap kebelakang.

Teringat awak pada tiga minit lalu, sebelum peristiwa ini berlaku. Sedang asyik awak mengikuti syarahan Sang Doktor tentang bab zakat, tiba-tiba syarahan itu terhenti secara mengejut. Mata sang Doktor menghala ke bahagian tengah kerusi pelajar.

Enti! Apakah kamu punyai apa-apa soalan?” Tanya sang Doktor, pada bibirnya sarat dengan senyuman. Sejurus kedengaran bisik-bisik suara si pelajarnya. Mata sang Doktor memandang langsung kepada sang Ustazah.

Namun awak yakin, walaupun senyuman menghiasi bibir sang Doktor, gemuruh tetap menjadi peneman sang Ustazah ini.

Senyap. Ustazah itu senyap, lidah kaku dari menutur jawapan.

Enti! Apakah kamu punyai persolan?” Ulang sang Doktor dengan nada semakin jelas.

Senyap. Respon yang sama dibalas oleh sang ustazah.

“Keluar. Keluar dari kelas sekarang. Sesi pengajian kamu untuk hari ini telah tamat” Sang Doktor kembali bersuara. Tangan kanannya menghala kearah awak. Awak sedikit gemuruh. Ini bukan pertama kali situasi seperti ini terjadi . Pernah sebelum ini, pada minggu-minggu awal pengajian. Sang Doktor pernah mengusir dua pelajarnya dari mengikuti pengajian. Punca yang sama, bercakap semasa sang Doktor tengah mengajar.

“Keluar. Keluar dari kelas sekarang. Pengajian kamu untuk hari ini telah berakhir” Ulang sang Doktor lagi.

images

Perlahan-lahan tangan sang Ustazah menyusun buku pada permukaan meja. Satu persatu buku dialihkan kedalam beg. Beg berwarna merah jambu itu kemudiannya dicapai tangan sang ustazah. Papan punggung sang ustazah perlahan-lahan bangkit, meninggalkan kepingan kayu yang dijadikan kerusi duduk para pelajar.

Awak melihat warna muka sang Ustazah berubah, dari kuning langsat kepada merah delima. Sang Ustazah semakin menghampiri awak. Tombol bulat pada pinggang awak dicapai perlahan, dipusing dan ditariknya awak menghala kebahagian dalam kelas. Kelas terbuka. Tolakan angin dingin pada tubuh awak kini menghilang. Hanya melintasi sisi tepi badan awak. Dua belah kaki sang ustazah semakin rancak mengatur langkah, melintasi badan awak.

Sang Ustazah mula melawan arus angin, mengatur langkah untuk meninggalkan bilik kuliah. Tombol pada pinggang awak dicapai kembali, namun kali ini disusuli dengan tarikan awal.

“Pang”

Diri awak dihempas. Di luar hitungan awak.

“Mengapa aku yang aku sering kali menjadi mangsa.” Rungut awak secara tiba-tiba.

Setiap kali  pelajar di halau dari kelas, awaklah selalu dijadikan tempat untuk mereka melahirkan sanggahan terhadapan hukuman sang Doktor. Awak semakin pening.

Sang ustazah menjauhkan tangannya dari tombol awak. Langkahnya semakin laju, meninggalkan awak dan bilik kuliah itu.

Suasana dalam kelas sedikit dingin. Awak yakin, semua ini berpunca dari hukuman yang diberi oleh sang Doktor tadi. Walaupun bibir sang Doktor masih lagi menguntum senyuman manis, namun awak yakin, perasan gerun mula menjengah jiwa pelajar-pelajar yang lain.

Sang Doktor kembali meneruskan pengajarannya.

Minda awak sedikit terganggu. Kacau. Perasaan itu muncul disebabkan layanan dari sang Ustazah tadi. Awak tidak risau sekiranya layanan tadi datangnya dari bakal jurutera bangunan mahupun doktor jasad. Kerana awak faham benar sistem pembelajaran mereka, telah terpisah antara nilai agama dan nilai akademik. Namun yang merisaukan awak, layanan tadi datangnya dari bakal jurutera ummah dan doktor rohani. Yang mana butir pengajian mereka seringkali dikaitkan dengan nilai-nilai agama. Agama Islam.

Awak semakin bingung. Bingung melihat dua sifat bersalahan antara dua insan. Pengikut dan orang yang diikut. Padahal pengikut itu sering berbangga-bangga dengan peribadi yang dimiliki oleh orang yang diikutinya itu. Bahkan seringkali juga diadakan  majlis mega perdana, memuji dan memuja orang yang diikutinya itu. Namun hakikatnya, sifat dua insan ini sangatlah bersalahan. Bersalahan antara satu sama lain.

Pernah pada satu kelas, seorang Doktor membicara tentang akhlak yang dimiliki oleh Sang Ikutan itu, akhlak yang cukup cantik, mulia dan elok. Buktinya, kesan kesempurnaan akhlak itu bukan hanya dapat dirasai oleh sang manusia, namun turut dikecap sama oleh sekalian alam.

Doktor itu menegaskan, melalui firman Tuhan Sekalian Alam,

“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.” (Quran s. al- Anbiya : 107)

Nah, jurang perbezaan yang cukup jelas antara dua insan ini.  Ya, awak sedar, diri awak hanyalah sebuah pintu, yang mungkin nilainya tidaklah seberapa disisi manusia. Namun bukankah melalui pengertian ayat ini, awak juga termasuk dalam golongan yang berhak mengecap Rahmat itu. Rahmat sekalian alam.

Atau sebenarnya, isi pengajaran doktor tidak pernah menyinggah elok pada minda pelajarnya, apatah lagi untuk dihayati dan diamalkan.

Benak awak terus di hujani persoalan.

Dua minggu sebelum ini, ketika sang Doktor sedang enak menerangkan ilmu pengajian kepada sekalian pelajar, jauh di hujung barisan kerusi sana, awak terlihat seorang dari pelajarnya sedang membelek i-Phone. Pada mulanya awak bersangka baik dengan situasi itu, pada fikiran awak mungkin dia sedang merujuk informasi tambahan untuk madah itu.

Namun, lama kelamaan sangkaan awak mulai meleset. Bibir dan jari pelajar itu semakin galak bertukar aktiviti. Sekejap bibir menguntum senyuman, kemudian jari menekan laju permukaan i-Phone. Berulang-ulang aktiviti itu berlangsung. Pelajar itu kelihatan semakin hanyut melayan gajet di tangan, seakan-akan menafikan kewujudan sang Doktor di bilik kuliah itu.

Seakan-akan yang ditaklifkan untuk mengikuti pengajaran itu adalah, awak dan rakan-rakan yang lain, Kerusi, meja, lampu dan dinding.

Mungkin sikap beginilah penyebab kepada lahirnya dua sifat berbeza antara pengikut dan orang yang diikuti. Sikap sambil lewa sang pengikut dalam menuntut ilmu, menyebabkan mereka gagal untuk menghayati peribadi sebenar orang yang diikutinya itu. Peribadi yang mulia lagi sempurna.

“Ahh… itu baru satu sudut, belum lagi berbicara tentang sikap amanah bakal jurutera dan doktor ummah dalam menghadapi peperiksaan. Peperiksaan yang menjadi kayu ukur pertama kesungguhan dan amanahnya seorang penuntut ilmu, sebelum di uji dengan lebih mendalam nun di dunia realiti sana.” Hati awak terus merungut, rungutan yang dibaluti kerisauan. Risau bukan pada masa depan sang Ustaz dan Ustazah ini, tapi risau awak pada masa depan anak generasi yang bakal dicorak oleh mereka.

Mana mungkin kayu yang bengkok dapat menghasilkan baying yang lurus.

Hujung semester lepas, sewaktu berlangsungnya satu peperiksaan akhir bagi semester 1 tahun 2013/2013 untuk madah Tafsir Tahlili. Seperti kebiasaan, awak sentiasa berdiri tegak ditempat awak. Mata awak menyilau kesana-sini, seolah-oleh sedang menjalankan tugasan sebagai pengawas peperiksaan. Meninjau suasana dalam dewan peperiksaan. Seribu satu watak yang ditunjukkan oleh sang pelajar.

Ada yang menjawab soalan sambil menggigit kepala pen, ada yang tangannya asyik menggaru bahagian kepala dan ada juga yang memberi tumpuan penuh dalam menjawab soalan.

Sedang asyik awak memerhatikan gelagat para pelajar, kelihatan di hujung tingkap sana, gelagat aneh dari seorang ustaz. Matanya mundar mandir, kiri dan kanan. Seolah-olah sedang memerhatikan sesuatu. Penuh teliti dan terlalu berhati-hati.

Perlahan-lahan tangannya mengeluarkan sesuatu dari jaket tebal hitam yang dipakai. Sekeping kertas kecil kelihatan dari jauh. Mata sang Ustaz itu melurut kebawah, bergerak kearah kepingan kertas itu, sambil tangannya terus laju menyonteng kertas jawapan dimeja.

Hati awak semakin resah, resah memikirkan masa depan anak bangsa yang bakal dicorakkan golongan para jurutera dan doktor ummah ini. Satu persatu sikap mazmumah terbit dari diri mereka. Seolah-olah pengajian agama yang mereka lalu itu tidaklah lebih dari proses pembelajaran biasa. Mengejar segulung sijil, namun padanya tidaklah punyai nilai selain tulisan-tulisan yang di catat pada kepingan sijil itu.

Mengingati kejadian itu, awak terus menyimpan satu impian dalam diri awak. Kalaulah awak di beri peluang untuk mendalami ilmu, awak akan memanfaatkannya sebaik mungkin. Memberi perhatian penuh sewaktu pembelajaran sedang berjalan serta amanah dalam menjawab peperiksaan. Namun awak sedar, impian itu hanya tinggal impian. Kerana awak hannyalah sekeping kayu jati, yang mampu berkhidmat sebagai perantara bahagian luar dan dalam bilik kuliah.

Walaupun seringkali awak menjadi pendengar setia, diwaktu para pelajar mula menjadikan gajet-gajet mewah sebagai teman mereka dibilik kuliah.

 

Juga Boleh Di baca dalam edisi PDF ( Pintu Perubahan )

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Dapatkan segera