Terbaru
Home » Cerpen » Sang Pengotor

Sang Pengotor

Bang!

Pintu bilik dihempas kuat oleh Amir. Tidak cukup pintu, beg yang berisi buku turut menjadi mangsa kegeraman Amir. Dicampaknya ke sudut kiri bilik, menyebabkan kedua-duanya terjelepuk jatuh menyembah meja.

Rahim yang tersentak dengan kelakuan Amir itu hampir melepaskan Tab Samsung di tangannya. Ditekan butang keluar menutup aplikasi Top Eleven be a Football Manager untuk kembali kepada menu utama. Setelah itu, jari telunjuk Rahim pantas menyentuh butang power yang terletak pada bahagian atas sebelah kanan tangannya itu. Skrin bertukar menjadi gelap. Perlahan-lahan diletakkan cermat Tab pada meja hadapannya itu.

“Kenapa dengan kau Mir? Baran semacam je, ” Soal Rahim melihat gelagat teman sebiliknya itu sambil mendongakkan kepala melihat jam yang tergantung pada bahagian atas bilik mereka. Jarum panjangnya sudah menghampiri angka 2 manakala yang pendek mengarah ke angka 3.

“Bodoh punya arab, guna tandas pun tak pandai. Pandai buang pandai la flush,” Jawab Amir dengan nada geram.

“Dah la ketika tu aku tengah sakit perut, masuk je tandas, bukan setakat perut yang sakit, habis benda sakit. Mata, hati dan jiwa turut ikut sakit sekali. ” Amir terus mengomel kegeraman.

Ditanggalnya T-shirt Evisu merah lengan pendek pada badannya itu, lantas dia mencampak ke arah bakul di penjuru kanan bilik. Tidak tepat, T-shirt tersebut hanya terdampar di lantai berkarpet coklat.

Tangan Amir mencapai tali yang tergantung pada bahagian bawah kipas dinding dan menarik dengan laju untuk membuka kipas. Perbuatan itu diulang sehingga tombol pada meter kelajuan kipas menunjukkan angka dua. Amir menghempas punggung ke atas katil dan pantas merebahkan badannya.

Pertanyaan Rahim itu mengheret Amir kembali  kepada peristiwa awal tengah hari tadi. Seusai kelas Nidzhom Hukum fi Islami bersama doktor Ahmad I’wadhi, dia bergegas meninggalkan bilik kuliah 207, yang menghadap tangga kuliah syariah itu menuju ke arah bahagian kiri kelas, menuju ke tandas.

Setibanya di sana, perasaan tidak sabar menahan sakit bertukar menjadi marah.  Kelihatan jongkong-jongkong emas terapung-apung memenuhi  lubang tandas sambil bau busuk terus-menerus menusuk hidungnya.

“Uwekk”

Tidak semena-mena anak tengkak Amir merespon apa yang terdapat pada tandas itu, hampir-hampir menolak isi perut menjengah kerongkong tengkak.

“Bodoh punya arab, guna tandas pun tak pandai ke!”  Getus hati kecil Amir penuh kegeraman. Bukan setakat tandas yang diperlakukan sedemikian rupa, bahkan semua tempat. Kaki-kaki lima, jalan dan pasar turut menjadi tempat menzahirkan sifat pengotor mereka itu. Puntung rokok di buang merata, sisa-sisa makanan dibaling enak dari tingkap kereta sehingga menyebabkan longkang-longkang tersumbat.

Pernah suatu ketika pada awal tahun 2013, hujan lebat turun membasahi bumi Jordan ini mengakibatkan banjir kilat berlaku di ibu negaranya Amman. Semuanya berpunca dari kegagalan longkang untuk menjalankan fungsinya sebagai alat menyalurkan air dek kerana disumbati sampah sarap hasil perbuatan penduduknya sendiri.

“Nah, baru padam muka mereka ni. Baru mereka sedar fungsi longkang tu untuk apa!” Respon seorang Ustaz yang berstatus calon PhD di sebuah Universiti terkemuka terletak di Amman sejurus banjir kilat itu berlaku.

“Mir, kau dah makan belum?”

Gegendang telinga Amir menangkap soalan yang di lontarkan oleh Rahim. Lamunan panjangnya terhenti. Hatinya sedikit sejuk walaupun masih terkenangkan peristwa di tandas jamiah tadi.

“Belum, kenapa?” Balas Amir pendek.

“Tu, atas meja ada sedikit syawarma kambing, sengaja aku beli lebih untuk kau tadi.  Kalau kau nak minum air, pergi basuh gelas tu dulu.” Sambung Rahim sambil tangannya menunjukkan pada gelas putih berlogo Karisma terletak pada bahagian kaki meja. Gelas itu berisi puntung rokok. Puntung rokok dari Amir sendiri yang dihisap malam semalam, sewaktu sedang melepak dengan rakan-rakannya yang lain.

A1rmYh9CQAA3kJC.jpg large

Sudah menjadi tabiat Amir menjadikan gelas sebagai pengganti kepada Ashtray . Bahkan terkadang pinggan makan pun turut menjadi tidak terkecuali. Semuanya kerana MALAS. Malas untuk mencari Ashtray yang sebenar.

“ Alah engkau, Arab tak cuci tandas, pandai pulak kau nilai pengotor. Gelas yang kau jadikan sebagai Ashtray tu macam mana pulak?” Ejek Rahim.

“Sekarang, tengok siapa yang susah. Mahu minum pun susah, gelas habis dijadikan Ashtray.” Sambung Rahim lagi.

“Yelah-yelah, aku basuh sekarang.”Balas Amir sambil menjuih bibir tanda memberontak dengan kata-kata sahabatnya itu.

Sudah lama sebenarnya Rahim menahan sabar. Sabar dengan sikap ahli rumahnya ini. Perangai lepas tangan dan pengotor cukup menggugat kesabarannya. Ditambah lagi sikap penting diri sendiri yang ada pada Amir terutama apabila ditegur tabiat buruk merokoknya itu. Paling menyakitkan hati Rahim, apabila dia tuduh penyibuk setiap kali menegur Amir.

“Mir, dah-dah la merokok tu. Kesian kat orang sekeliling kau. Mak ayah kau, kawan-kawan kau. Semua terpaksa menanggung kesan disebabkan perangai kau jadi perokok ni. Contohnya mak ayah kau. Dikirimkan duit untuk membiayai kos pengajian dan kehidupan kau di sini. Tapi ke lain pula duit tu kau habiskan. Remuklah hati mereka sekiranya mereka mengetahui semua ni. Begitu juga kawan-kawan sekeliling kau, berapa ramai yang tersiksa menahan diri dari menghidu gas beracun setiap kali engkau hembuskan asap-asap rokok itu.”

Pernah suatu ketika Rahim cuba menasihati Amir untuk meninggalkan tabiat buruknya yang suka merokok itu. Namun, seperti kebiasaan jawapan dari Amir amat mengecewakan Rahim.

“Alah, sibuk nak nasihatkan aku menyalahgunakan duit yang mak ayah aku kirim dengan membeli rokok. Kenapa tidak pula kau nasihat kaki-kaki dating yang menghabiskan duit mak ayah mereka dengan keluar berdating situ, berdating sini. Tu pun membazir juga. Lagi satu, kalau korang semua tak boleh tahan dengan bau asap rokok aku ni, kenapa tidak kau jauhkan diri je dari golongan perokok macam kami ni?” balas Amir kembali  setiap kali persoalan rokok ditujukan kepadanya.

Jawapan itu sering membuatkan Rahim berfikir seorang diri. Mungkin beginilah perangai kebanyakan perokok. Tidak boleh menerima teguran, penting diri sendiri. EGO, dan satu lagi, PENGOTOR.

 

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Dapatkan segera