Terbaru
Home » Artikel » Cabaran belia pada masa kini

Cabaran belia pada masa kini

Belia, mengikut pengertian kamus dewan edisi ke-4 ialah pemuda, golongan muda secara keseluruhannya (baik lelaki mahupun wanita). Belia jugadi kaitkan dengan kekuatan sendiri pada zaman mereka ini. Sepertimana yang dikatakan oleh Dr Yusuf Qaradhawi, jika kekuatan pemuda itu hendak diibaratkan dengan sinaran cahaya matahari, maka samalah pada kecerahan dan keterikan pada pukul 12 tengah hari.

Malah, hal ini dapat kita lihat pada pahatan sejarah, betapa kuasa pemuda ini mampu mengubah landskap sesuatu tamadun. Sebagaimana terpahatnya nama Mus’ab bin Umair, Ali bin Abu Thalib serta Aisyah (radhiyallahu alaihim ajmaain) dalam membantu Baginda Muhammad saw mengeluarkan Jazirah Arab yang berada dalam kegelapan kejahilan kearah sinaran cahaya keimanan.

Belia juga dianggap sebagai aset paling bernilai dalam sesuatu tamadun. Sehingga ada pepatah mengatakan, jika mahu melihat masa depan sesebuah tamadun, maka lihatlah pada anak muda mereka.

Melihat kepada penerangan di atas, dapatlah kita rumuskan bahawa zaman belia ini sangatlah berharga, dan ianya haruslah dipergunakan sebaik mungkin, samada oleh sang belia itu sendiri mahupun orang dewasa.

Saban hari kita mendengar berita, atau membaca di dada-dada akhbar tentang masalah yang di hadapi oleh golongan muda. Hiburan melampau, pertambahan kelahiran anak luar nikah, rempit dan sebagainya. Seolah-olah belia di Malaysia sekarang ini sedang menghidapi sebuah penyakit yang kronik, yang terlalu susah untuk di sembuhkan. Mana tidaknya, bilangan kes yang berlaku makin bertambah dari hari ke hari.

khairy_13112013_tminazirsufari_001_540_354_100

Malah, seperti tidak cukup dengan penyakit yang sedia ada, kerajaan dengan rasa tidak bersalahnya, telah menambah penyakit-penyakit lain kepada golongan belia. Umpamanya seperti yang dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin Abu Bakar, kerajaan berbesar hati melaburkan 1.6 Juta Ringgit Malaysia bagi mengiktiraf belia diMalaysia melalui bayaran kepada 3 kumpulan K-Pop di suatu masa yang lalu. Mengiktiraf belia yang sakit, sungguh naïf pemikiran menteri ini. Sepatutnya yang sakit di berikan ubat, bukannya di tambahkan penyakit yang sedia ada.

Di zaman yang muda ini, seharusnya perkara yang paling utama dikejar oleh golongan belia adalah menuntut ilmu, terutama ilmu yang melibatkan hal agama. Di tambah lagi dengan dunia yang penuh cabaran ini, hanya yang mempunyai ilmu yang mantap dapat menghalang diri dari terlibat dengan perkara yang tidak elok.

Sepertimana diceritakan oleh Allah melalui surah al-Kahf, di dalam kisah as-habul Kahfi, bagaimana sekumpulan anak muda yang mempunyai ilmu dan bekalan yang mantap dalam menghadapi pemerintah yang zalim. Iman mereka tidak terusik sedikit pun.

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)

Ayuh generasi belia sekalian, kita persiapkan diri kita dengan seribu satu ilmu yang ada dalam dunia ini, agar kehidupan kita lebih bermakna dan bermanfaat, samada untuk diri sendiri mahupun masyarakat sekelilingnya.

Hisyam Ahmad

Mu’tah, Jordan

15 November 2013

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Dapatkan segera